‘’Jangan fikir ini amaran kosong!’’ – Khaled ingatkan pegawai,anggota ATM hentikan perbuatan tak bermoral

“PANGGILLAH  dengan apa nama sekalipun, ‘yeye’, ‘yaya’ atau apa sahaja, ia adalah perkara keji, tidak bermoral dan bercanggah dengan tradisi hidup Islam’’

Demikian ditegaskan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang memberi amaran tegas bahawa perbuatan buli, penindasan dan segala budaya hedonisme yang tidak berakhlak dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu dihentikan dengan penguatkuasaan peraturan serta disiplin yang tegas.

Tegasnya,  kementerian dan ATM sememangnya telah lama mengharamkan kegiatan yang tidak bersahsiah ini di semua kem tentera di seluruh negara.

“Jadi, jangan fikir ini amaran kosong! Begitu juga mereka yang menghabiskan masa dengan bermain golf di luar waktu yang dibenarkan atau bersembang kosong di kedai kopi semasa waktu bekerja, disiplin ketenteraan akan kita tegaskan dan kuatkuasakan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian berucap dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur hari ini.

Mohamed Khaled berkata, sebelum ini kementerian tidak pernah teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas dan menjatuhkan hukuman berat kepada setiap pelaku kesalahan sebegini.

Menurutnya, kementerian telah menetapkan peraturan dan garis panduan yang jelas serta tegas berkaitan segala aktiviti sosial yang boleh diadakan di kem.

“Lebih-lebih lagi dengan penubuhan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) yang sepatutnya membendung apa-apa unsur mungkar dalam kalangan anggota kita,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti haram dan tidak bermoral tidak sepatutnya berlaku lagi di mana-mana kem ATM.

“Tiada wanita harus dijadikan objek seks dan hiburan di mess dan Wisma Perwira kita. Kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam semua kemungkaran moral ini, yang merosakkan imej mulia ATM, kita akan pastikan anda dihukum dan disingkirkan dengan keji daripada perkhidmatan,” tegas beliau.

Beliau juga mengingatkan bahawa masa bekerja juga bukan untuk bersosial di media sosial.

‘’Segala pandangan kita di media sosial mestilah memaparkan etika sebagai anggota pertahanan negara. Jangan sebarkan berita tidak benar, komen yang tidak sahih dan prejudis yang merosakkan perpaduan negara,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img