Penternakan babi… belum serikkah lagi wahai pemimpinku?

Oleh Kamal Shukri Abdullah Sani

MAJLIS  Perundingan Melayu (MPM) menjunjung kasih akan titah baginda Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah  yang murka berhubung rancangan penternakan babi berskala besar di Tanjung Sepat, Kuala Langat khususnya untuk dieksport.

Isu ternakan babi bukanlah baru atau isu di Selangor sahaja. Sudah berpuluh tahun dan berlaku di banyak negeri. Banyak orang termasuk pemimpin sudah lupa agaknya serangan virus Japanese Encephalitis (JE) pada tahun 1998-1999 di ladang Bukit Pelanduk, Port Dickson. Virus itu yang menyerang otak manusia menyebabkan sekurang-kurangnya 105 orang  daripada kira-kira 265 orang mangsa meninggal dunia.

Bermula di Ipoh, virus itu menular dengan  ke Bukit Pelanduk, Sikamat di Negeri Sembilan dan Kampung Sungai Nipah, Sepang serta Sungai Buloh di Selangor. Tiga buah negeri terlibat. Malah diberitakan pekerja kesihatan di Singapura turut menjadi korban JE.

Pakar tempatan juga turut menemui virus Nipah yang lebih berbahaya daripada virus Ebola. Ia  kerana virus itu menyerang otak berbanding virus yang menyerang saluran darah. Ketika itu penduduk sekitar Bukit Pelanduk amat risau dan bimbang terutama tentang masa depan penternakan babi. Belum serikkah lagi wahai pemimpinku?

Kini selepas kira-kira 28 tahun nampaknya penternak dan pemimpin di Selangor khususnya seakan-akan telah diserang ‘penyakit mudah lupa’, ‘penyakit umum’ rakyat juga pemimpin Malaysia?

Teguran dan sebenarnya kemurkaan  Sultan Selangor amat wajar terhadap semua wakil rakyat yang dilihat tidak insaf, degil atau lebih mementingkan sesuatu yang lain ketimbang kesejahteraan, keharmonian dan kesihatan rakyat umum.

Cantik sekali saran baginda agar semua Exco Selangor dan mungkin Menteri Besarnya juga menginap sementara di tepi kawasan penternakan yang dicadangkan untuk merasai apa yang selama ini berpuluh tahun dideritai rakyat akan bau busuk dan sebagainya akibat pencemaran alam sekitar.

Banyak kisah yang memaparkan bagaimana  sungai, parit, laut, pantai dan alam sekitar tercemar sehingga mengancam punca pendapatan dan ekonomi penduduk setempat seperti petani dan nelayan. Tanah kawasan penternakan berbau busuk juga amat tidak disenangi untuk didiami. Migrasi boleh berlaku dan kemungkinan nilai tanah juga akan merosot.

Kita berharap tidak ada sebarang agenda lain yang boleh merugikan penduduk sekitar atau rakyat umumnya daripada segala segi.

Negara kita masih mengimport daging lembu, kambing dan lain-lain yang berjumlah berjuta-juta setahun. Alangkah moleknya jika ternakan babi yang lebih berisiko membawa kesan negatif kepada penduduk digantikan dengan ladang ternakan lembu, kambing, rusa, biri-biri atau kerbau yang lebih banyak diperlukan oleh pasaran tempatan ketimbang keperluan babi oleh pengguna yang lebih kecil.

Tirulah negara jiran Singapura. Tidak mahu negaranya kotor dan berbau busuk. Malah durian sahaja yang amat digemari hanya mahu diimport isinya sahaja yang dibungkus dengan baik. Lambakan kulit durian nanti akan memerlukan kos tinggi untuk menghapusnya.

Kulit durian saja dirisaukan apatah lagi jika bau dan najis babi yang amat busuk sehingga berbatu-batu jauhnya, sehingga ke laut yang mengancam segala ikan, kerang dan hidupan laut yang merupakan punca ekonomi kepada para nelayan.

Eloklah diimport sahaja babi ketimbang mengimport daging lembu, kambing, biri-biri dan lain-lain dengan kos yang lebih tinggi dan merugikan negara. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sepatutnya peka dan meneliti akan isu ini dengan sesegera yang mungkin.

Ini pasti dapat menjimatkan perbelanjaan daripada bergantung kepada usaha mengimport daging dan tenusu dari negara luar terutamanya pada musim perayaan. Import daging lembu sahaja hampir RM4 bilion setahun ketimbang import babi sebanyak RM1 bilion sahaja setahun. Pasaran tempatan daging lembu hanya mampu membekalkan 80% daripada keperluan tahunan sebanyak 200,000 tan metrik.

Jelas, peluang menternak lembu berpotensi besar sebab masih jauh daripada mencukupi sedangkan karenahnya tidak sekompleks dan serumit penternakan babi.

Justeru MPM merasakan  sudah tiba masanya dan kami merafak sembah agar kesemua sembilan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu  turut memberi amaran keras kepada kerajaan, semua Menteri Besar dan Exco masing-masing  memberi perhatian serius  mengenai isu ini dan juga isu lain.

Merujuk Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3(1), Islam adalah agama Persekutuan maka adalah sesuatu yang amat memalukan jika Malaysia menjadi sebuah negara yang majoriti penduduknya Islam, terkenal sebagai pengeksport babi terbesar di Asia apatah lagi di dunia?

Kita percaya tanpa teguran dan amaran Tuanku pasti projek tersebut akan diteruskan juga dengan pelbagai jaminan yang kelihatan tidak pernah pun diambil peduli. Kalau tidak masakan isu bau busuk, pencemaran sungai, pantai, laut masih berlarutan hingga kini.

Begitu juga MPM berpendapat  bahawa sudah masanya semua sembilan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu walaupun sebagai Raja Berperlembagaan tetapi turut memberi perhatian dan menegur pemerintah yang acap kali terleka mengejar kemajuan sehingga kepentingan, hak dan kedudukan istimewa orang Melayu berisiko terabai walaupun secara tidak sengaja.

Tuankulah “payung besar” orang Melayu sebagai penduduk asal di sini yang bernama Persekutuan Tanah Melayu. Tanpa Tuanku tiadalah kami, tanpa kami tiadalah Tuanku.

Kita tetap menghormati keperluan babi bagi sebahagian kecil penduduk negara ini. Ini bukan isu perkauman. Ini isu pencemaran alam sekitar yang berpuluh tahun tidak ditangani pihak berwajib, isu ekologi, ekonomi dan sesuap nasi petani dan nelayan. Tetapi janganlah sampai  bukan sahaja boleh mengorbankan majoriti penduduk lain tetapi juga “mengancam” ekologi atau persekitaran tanpa mengira sama ada pengambil dagingnya atau tidak.

Janganlah hanya mementingkan diri dan kelompok sendiri sahaja. Dalam banyak keadaan, kepentingan majoriti perlu diutamakan apatah lagi jika mudaratnya lebih besar ketimbang manfaatnya.

* Penulis adalah Pengerusi BIRO Insan Rabbani dan Komuniti Madani,
Majlis Perundingan Melayu.

*Hantarkan komen dan artikel anda kepada editor@utusanmelayuplus.com

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img