`Tekanan daripada Pas?, mana ada’…Sanusi nafi parti itu desak Muhyiddin letak jawatan Pengerusi PN

KETUA Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan bahawa peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN adalah berpunca daripada desakan Pas.

Beliau sebaliknya berkata, tiada tekanan daripada parti itu supaya Muhyiddin meletakkan jawatan berkenaan yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

“Tekanan daripada Pas? Tak ada,” katanya kepada media pada Program Amanat Tahun Baharu Pentabiran Tanah Negeri Kedah 2026 di Dewan Seri Mentaloon di Alor Setar, Kedah hari ini, lapor Sinar Harian.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah mengulas dakwaan bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad kononnya wujud tekanan daripada pemimpin Pas supaya melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN.

Dr Marzuki mendakwa, Muhyiddin sebenarnya telah menyatakan hasrat untuk berundur namun tekanan yang memuncak dalam kalangan pimpinan tertentu Pas mempercepatkan keputusan berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat memberitahu, persoalan mengenai siapa yang bakal menerajui PN selepas ini hanya akan diputuskan menerusi mesyuarat rasmi gabungan itu.

Beliau yang turut memberi bayangan tidak berminat untuk menggalas tanggungjawab tersebut berkata, sebarang keputusan berkaitan hala tuju kepimpinan tidak wajar diumumkan secara terbuka atau berasingan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan ahli dan penyokong.

“Kita kena mesyuarat, tak boleh cakap seorang-seorang di luar. Bincang dalam mesyuarat, buat keputusan dalam mesyuarat dan kemudian (baru) umum,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan, perasaan tidak senang berhubung potensi Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi Pengerusi PN mencetuskan desas-desus mengenai Muhyiddin kembali sebagai kemudi.

Sumber dalaman PN mendakwa, beberapa pemimpin Bersatu tidak selesa dengan idea seorang Naib Presiden parti menerajui gabungan pembangkang itu.

Mereka berhujah bahawa PN sepatutnya dipimpin seorang Presiden parti seperti yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Terdapat gesaan daripada pemimpin Pas supaya parti itu menerajui PN sejak Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan daripada jawatan tersebut, yang disandangnya selama lima tahun lalu, di tengah-tengah ketegangan dalam gabungan pembangkang itu.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img