SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melengkapkan siasatan dalam tempoh seminggu terhadap pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung dakwaan penyalahgunaan dana pasukan tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, pihaknya akan memaklumkan dari semasa ke semasa sebarang kemaskini mengenai siasatan terhadap pegawai kanan yang berusia 60-an itu.
“SPRM sudah selesai merakam percakapan pegawai tertinggi ATM untuk hari ini dan beliau sudah dilepaskan pada pukul 5 petang.
“SPRM akan melengkapkan siasatan dalam tempoh seminggu dan sebarang kemaskini mengenai siasatan kes ini akan dimaklumkan kemudian dari semasa ke semasa,” katanya kepada media.
Hari ini, pegawai tertinggi tersebut hadir kira-kira pukul 10 pagi buat kali kedua di Ibupejabat SPRM Putrajaya bagi menyambung keterangan.
Semalam, pegawai itu diambil keterangan selama kira-kira 13 jam selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada pukul 11 pagi.


