SEORANG penunggang motosikal maut dalam nahas melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 43 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam arah Ayer Hitam di Kulai malam tadi.
Kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun hilang kawalan kerana tergesel ketika hendak memotong sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, motosikal itu kemudian melanggar belakang sebuah kereta jenis Perodua Myvi sebelum terjatuh di laluan bertentangan dan dirempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang tidak sempat mengelak.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik akibat kecederaan parah di kepala.
“Polis dimaklumkan mengenai kemalangan itu kira-kira jam 9.30 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim untuk bedah siasat.
Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Ruslan Mohamed di talian 013-306 3710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk membantu siasatan,” katanya.


