SELEPAS teruk menerima kecaman dan bantahan, penganjur program komuniti songsang kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), Glamping With Pride yang dirancang bakal diadakan pada 17 dan 18 Januari depan di Hulu Langat dibatalkan.
Penganjur program itu yang dikenali sebagai Jejaka sebaliknya memberi alasan pembatalan itu disebabkan faktor ancaman keselamatan serius termasuk ugutan bunuh dan keganasan yang diterima dalam media sosial sejak beberapa hari lalu.
“Pembatalan ini bukan kerana aktiviti rekreasi ini menyalahi undang-undang, tetapi disebabkan keadaan semasa yang dicetuskan oleh retorik tidak bertanggungjawab, kecelaruan maklumat dan fear mongering sehingga menjadikan nyawa sebagai taruhan keselamatan.
“Ancaman-ancaman ini telah didokumenkan dan akan dirujukkan kepada pihak berkuasa melalui laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan penganjur LGBT itu lagi, program berkenaan merupakan aktiviti komuniti tertutup yang bersifat pendidikan dan kesihatan, termasuk usaha mengurangkan stigma terhadap isu kesihatan awam seperti HIV.
Tambah kenyataan itu, sebelum isu tersebut disensasikan, hanya 14 peserta berdaftar, namun jumlah itu meningkat kepada kira-kira 50 individu dalam tempoh beberapa hari, sebelum tercetus suasana ketakutan yang menyebabkan mereka kehilangan ruang selamat untuk berkumpul.
Dalam kenyataan sama, Jejaka turut menyuarakan kekesalan terhadap beberapa kenyataan pihak tertentu yang didakwa gagal menenangkan keadaan, malah memburukkan situasi sehingga mencetuskan ancaman terhadap golongan minoriti.
“Walaupun program ini dibatalkan atas faktor keselamatan, kami berdiri teguh di atas prinsip keadilan dan kesaksamaan. Keputusan ini dibuat atas melindungi nyawa dan bukan kerana mengalah,” katanya.


