SEORANG wanita warga emas maut selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika melintas jalan di Jalan Sentul, berhampiran Sentul Pasar, Kuala Lumpur pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu melibatkan sebuah kenderaan dengan seorang pejalan kaki wanita tempatan berusia 69 tahun.
“Mangsa dipercayai melintas dari bahu kiri ke bahu kanan jalan di lokasi yang bukan lintasan pejalan kaki sebelum dirempuh sebuah kenderaan yang sedang bergerak lurus di lorong kedua dari kiri menghala ke pusat bandar raya.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes ini katanya, disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut Mohd Zamzuri, usaha mengesan kenderaan terlibat sedang giat dijalankan termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta mengesan saksi bebas di sekitar lokasi kejadian.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.


