Anggota polis tampar penunggang motosikal sedang bertugas banteras aktiviti rempit

POLIS Johor mengesahkan kejadian seorang penunggang motosikal lelaki ditampar anggota polis di sebuah stesen minyak di Taman Perling, Johor pada Ahad lalu berlaku ketika anggota polis terbabit menjalankan tugas dalam operasi trafik.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, anggota polis itu dipanggil bertugas dalam satu operasi membanteras aktiviti rempit di sekitar kawasan tersebut ketika dia sedang bercuti.

“Pada hari kejadian, satu operasi motosikal sedang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara. Operasi ini bertujuan membanteras aktiviti rempit di kawasan itu dan anggota terbabit seorang daripada yang membantu operasi.

“Semasa kejadian, anggota itu dilaporkan cuba menahan motosikal ditunggang mangsa yang cuba melarikan diri. Mungkin spontan pada masa itu berlaku insiden tamparan. Dia bercuti tetapi dipanggil bertugas atas kekangan keperluan keanggotaan untuk bantu operasi pada hari itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Pada Ahad lalu, satu video berdurasi 33 saat tular memaparkan seorang penunggang motosikal yang sedang membonceng seorang wanita ditampar lelaki didakwa anggota polis di sebuah stesen minyak.

Mengulas lanjut, Ab Rahaman berkata, laporan polis pertama dibuat oleh pihak polis selepas tular video memaparkan kejadian itu di media sosial, sebelum laporan polis diterima daripada mangsa yang berusia 21 tahun pada malam kejadian.

Beliau memaklumkan, empat individu termasuk saksi dan anggota polis terbabit telah dirakam percakapan setakat ini dan beberapa saksi lain juga akan dipanggil memberi keterangan.

Katanya, polis turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat tambahan.

Kes ini katanya, disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera dan tindakan lanjut akan diambil mengikut prosedur Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila siasatan selesai.

Beliau berkata anggota polis terbabit tidak digantung tugas tetapi tidak dibenarkan menyertai sebarang operasi sehingga siasatan selesai.

“Setakat ini, beliau menjalankan tugas seperti biasa kerana siasatan masih berjalan dan tindakan menahan kerja hanya boleh dilakukan apabila terdapat bukti kukuh serta pertuduhan mahkamah,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img