UMNO tak pernah menolak atau eksploitasi agama Islam – Zahid

UMNO tidak pernah menolak atau mengeksploitasikan agama Islam dalam perjuangannya, kata Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi

Sebaliknya kata Presiden UMNO itu, jasa besar parti tersebut untuk memartabatkan Islam melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan termasuk memperkukuhkan peranan Raja-Raja Melayu tidak boleh dilupakan.

“UMNO tidak pernah menolak Islam dan UMNO juga tidak pernah mengeksploitasi agama. Islam pada UMNO ialah panduan kenegaraan, bukan modal politik. Islam dibina melalui dasar dan institusi, bukan slogan mahupun retorik.

“Islam telah dimartabatkan melalui Perkara 3, peranan Raja-Raja Melayu diperkukuhan di dalam Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan. Inilah jasa besar UMNO yang jangan sesekali kita lupa.

“Pentadbiran hal ehwal dan perundangan Islam disusun secara berautoriti melalui Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri serta Mahkamah Syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup sempena Multaqa Ilmuan Islam Malaysia yang dianjurkan oleh Majlis Ulama UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini, lapor UMNOonline.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pelbagai usaha dan ikhtiar berterusan telah dilakukan oleh UMNO untuk menjadikan Islam berfungsi dalam sebuah negara majmuk yang berdaulat.

“Pendidikan Islam pula terus diperkasakan secara menyeluruh melalui sistem pendidikan kebangsaan, sekolah-sekolah agama, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), institusi-institusi pengajian tinggi dan institusi tahfiz diperkukuh dalam kerangka nasional, agar lahirnya generasi yang seimbang duniawi serta ukhrawi.

“Penubuhan Tabung Haji, pembangunan perbankan dan kewangan Islam, serta pemerkasaan institusi zakat juga wakaf membuktikan bahawa Islam bukan sekadar identiti, tetapi sumber kemakmuran dan kesejahteraan.

“Inilah usaha dan ikhtiar UMNO yang menjadikan Islam berfungsi dalam sebuah negara majmuk yang berdaulat, stabil dan dihormati,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kebijaksanaan pemimpin berdasarkan maslahat amat penting untuk membuat keputusan demi kesejahteraan rakyat.

“Namun, kejayaan masa lalu tidak boleh menjadikan kita alpa. Negara dan rakyat hari ini sedang letih. Ketidakstabilan politik, pertarungan emosi perkauman dan politik kebencian yang disulami sentimen agama semakin tidak terkawal.

“Pada waktu yang sama, tekanan ekonomi global, inflasi, kenaikan kos sara hidup dan ketidaktentuan pasaran terus menghimpit rakyat. Paling terkesan golongan sederhana (M40) dan bawahan (B40).

“Sebagai umara’ dan ulama’, soalan yang mesti kita jawab … adakah keputusan politik kita mengurangkan mudarat rakyat, atau menambah beban mereka?

“Di sinilah kepimpinan dan keilmuan diuji. Bukan pada kepantasan bertindak, tetapi pada kebijaksanaan menimbang berpaksikan maslahat dan mudarat. Di sinilah penting untuk kita berbicara mengenai satu pendekatan fiqh yang dikenali sebagai Fiqh al-Mizan,” katanya lagi. –

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img