POLIS mengesahkan pemilik kenderaan asing dari Singapura yang mengubah nombor pendaftaran untuk mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak awal bulan ini, akan didakwa di Mahkamah Majistret Kulai esok.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, lelaki berusia 63 tahun itu bakal didakwa mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan lanjut terhadap pemilik kenderaan tersebut telah dijalankan dan didapati nombor pendaftaran kenderaan itu telah diubah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, tular video berdurasi satu minit 30 saat menerusi media sosial yang memaparkan tindakan pemilik kenderaan jenis Volkswagen Jetta berwarna perak, dengan nombor pendaftaran Singapura sedang mengisi RON95 di sebuah stesen minyak di Kulai.
Seng Lee dilaporkan berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kulai menerima laporan berkenaan video tular itu kira-kira jam 5 petang 4 Januari lalu.
Beliau juga sebelum ini mengesahkan pemilik yang juga pemandu kenderaan itu merupakan pemegang status penduduk tetap (PR) republik itu.


