SEORANG daripada mangsa insiden letupan pemampat pendingin udara di HELP University di Bukit Damansara semalam kini dilaporkan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat mengalami pendarahan dalam otak serta retak pada tengkorak.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, penuntut wanita berusia 19 tahun itu kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurut beliau, seorang kontraktor wanita berusia 54 tahun juga kini dirawat di hospital sama kerana kecederaan akibat serpihan besi dalam badan serta melecur, namun keadaannya dilaporkan stabil dan berada di bawah pemantauan doktor.
“Seorang lelaki warga Indonesia berusia 22 tahun iaitu pekerja kantin di universiti terbabit pula dirawat di Hospital Sungai Buloh untuk tujuan pemantauan walaupun tidak mengalami kecederaan serius, manakala enam mangsa lain dibenarkan pulang,” katanya, lapor Bernama.
Media semalam melaporkan, seorang lelaki meninggal dunia ketika menerima rawatan di HKL, manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian letupan gas pemampat pendingin udara di sebuah universiti swasta kira-kira jam 11.40 pagi.
Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Soo Yu Juan, 24, pelajar tahun ketiga kursus Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang sedang menjalani latihan industri di HELP University.
Fadil dalam pada itu berkata, pasukan bomba dan penyelamat sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kejadian dan pihak polis akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, letupan dipercayai berlaku di kawasan penyelenggaraan penyaman udara yang terletak bersebelahan kafeteria di tingkat empat universiti berkenaan.


