PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yakin akar umbi UMNO menyokong keputusan pucuk pimpinan supaya parti itu kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Katanya, beliau tidak meragui sokongan akar umbi dalam soal tersebut biarpun Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr.Muhammad Akmal Saleh menyatakan terdapat desakan supaya parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
“Ini bukan soal pendirian saya. Ini pendirian parti yang saya bawa bukan sahaja ke mesyuarat biro politik malah mesyuarat majlis kerja tertinggi dan perhimpunan agung tiga tahun lalu.
“Saya berpegang teguh pada pendirian itu. Kerajaan perpaduan harus diperkukuhkan dengan sokongan bukan sahaja ahli parti malah Ahli Parlimen sendiri.” katanya kepada media di World Trade Centre (WTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula esok.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kerjasama bagi membentuk kerajaan selepas PRU-16 akan bergantung pada bilangan kerusi yang dimenangi UMNO.
“Penubuhan kerajaan seterusnya adalah berdasarkan berapa jumlah kerusi diperoleh — berapa kuat atau lemah sokongan diberikan kepada calon UMNO” katanya.
Ahmad Zahid berkata, UMNO menyasarkan untuk bertanding lebih daripada 30 kerusi pada PRU-16.


