POLIS menahan seorang jurulatih bola sepak bagi membantu siasatan dakwaan meliwat dan mencabul seorang remaja lelaki di sebuah pondok di hadapan rumahnya di Kampung Gembut, Tanjung Sedili di Kota Tinggi, pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusuf Othman berkata, laporan dibuat sendiri oleh mangsa yang berusia 15 tahun, sehari selepas kejadian.
Menurutnya, polis kemudian menahan jurulatih lelaki berusia lingkungan 50-an itu di kampung berkenaan pada hari yang sama bagi membantu siasatan.
“Suspek dan mangsa tinggal berjiran dan siasatan awal mendapati kejadian ini pertama kali berlaku. Suspek juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan suspek kini direman empat hari sehingga hari ini.


