MAHKAMAH Majistret Kemaman semalam menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 kepada sebuah kedai serbaneka di bandar ini selepas didapati bersalah menjual rokok berhampiran sekolah.
Pengurus syarikat premis terbabit selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dihadapkan Majistret Marsha Abdul Malik.
Mengikut pertuduhan, premis itu menjual produk tembakau di dalam kawasan yang terletak kurang daripada 40 meter dari pagar sebuah sekolah, di Jalan Jakar pada 14 April tahun lalu kira-kira jam 11 pagi.
Premis serbaneka itu didakwa mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), lapor Harian Metro.
Majistret kemudian memerintahkan premis itu didenda RM30,000 atau tujuh bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia, Mohd Azman Mohd Ramli bersama Alias Awang Kechik.
Sementara itu di mahkamah yang sama, sebuah kedai runcit dikenakan denda sebanyak RM9,000 selepas didapati bersalah menjual rokok kepada remaja berusia 17 tahun.
Wakil premis terbabit, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Marsha Abdul Malik.
Mengikut pertuduhan, premis itu didapati menjual produk merokok kepada seorang lelaki, Orang Belum Dewasa (OBD) yang berusia 17 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di premis berkenaan yang terletak di Binjai, di Kemaman, pada 29 September tahun lalu, kira-kira jam 3 petang.
Premis itu didakwa mengikut Seksyen 13(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 13(2)(a)(i) akta yang sama.
Marsha kemudiannya memerintahkan premis itu didenda sebanyak RM9,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia, Mohd Azman Mohd Ramli bersama Alias Awang Kechik.


