DATUK Dr.Muhammad Akmal Saleh hari ini membuktikan ketegasan berkaitan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan apabila mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka berkuat kuasa mulai minggu depan.
Beliau membuat pengumuman ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Pemuda UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.
Akmal berkata beliau sudah menyampaikan hasrat tersebut kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang mengingatkannya bahawa ‘pejuang tidak akan meninggalkan rakan-rakan’.
Katanya, meskipun beliau sebelum ini lantang menyuarakan kebimbangan terhadap kerjasama dengan DAP, beliau tetap menghormati keputusan parti untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan.
“Datuk Seri, saya mohon maaf, dengan ini saya letak jawatan exco berkuat kuasa minggu depan,” katanya.
Akmal menegaskan peletakan jawatan itu bukan kerana pangkat atau kedudukan, sebaliknya demi mempertahankan suara akar umbi dan maruah politiknya.
“Jawatan tak penting, yang penting suara akar umbi dan maruah. Saya ada maruah — kamu ada maruah atau tidak?” katanya ditujukan kepada salah seorang pemimpin DAP.
Beliau turut memberi amaran kepada pihak yang sering ‘menekan’ Ab Rauf bahawa ketiadaannya dalam barisan Exco tidak akan melemahkan perjuangannya.
“Bila saya tiada dalam exco, saya akan lawan habis-habisan,” katanya, menegaskan langkah melepaskan jawatan itu bertujuan membolehkannya menentang DAP tanpa terikat dengan keputusan kerajaan negeri.


