PASUKAN Polis Marin (PPM) Langkawi merampas pelbagai jenis peranti rokok elektronik atau vape dianggarkan bernilai RM178,400 dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran dalam serbuan di kawasan terusan anak sungai Kampung Ewa, Ayer Hangat, Langkawi awal pagi semalam.
Pemangku Komander PPM Wilayah 1, Superintenden Fakharuddin Amri Sanusi berkata, rampasan dilakukan kira-kira jam 1 pagi menerusi Op Taring Landai hasil risikan Unit Risik Marin (URM) Langkawi dengan kerjasama Balai Polis Ayer Hangat.
Menurutnya, pemeriksaan di kawasan paya bakau berhampiran anak sungai berkenaan menemukan beberapa kotak mencurigakan yang disusun dan ditinggalkan tanpa pengawasan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kotak-kotak itu mengandungi pelbagai produk rokok elektronik atau vape daripada pelbagai jenis dan perisa.
“Bagaimanapun, tiada individu ditemukan di lokasi kejadian dan tiada tangkapan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Fakharuddin, antara barangan yang dirampas adalah 3,140 unit RELX Pod Pro 2, 230 unit RELX Smash Go, 1,710 unit RELX Creator Pod, 120 unit RELX Novo, 140 unit RELX Essential 2 dan 50 unit RELX Infinity 2 Plus selain beberapa unit peranti vape pelbagai model, warna dan perisa.
Beliau berkata, kesemua barangan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Langkawi sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) daerah Langkawi untuk tindakan lanjut.
Kes ini katanya, disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 berkaitan kesalahan memiliki atau menyimpan barang larangan yang disyaki diseludup.
Fakharuddin menegaskan, PPM komited membanteras kegiatan penyeludupan dan akan terus mempergiatkan rondaan serta operasi bagi menjamin keselamatan perairan negara.


