SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan pertuduhan beberapa pegawai kanan susulan siasatan melibatkan seorang pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta satu kartel yang dikaitkan dengan kontrak perolehan tentera.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, cadangan pertuduhan melibatkan ‘seorang atau dua pegawai’ dalam siasatan pertama, manakala ‘sekurang-kurangnya dua individu’ lagi dikenal pasti dalam siasatan kedua.
Menurut beliau, semua kertas siasatan yang telah lengkap akan diserahkan kepada pihak pendakwaan pada Isnin depan untuk penelitian dan keputusan lanjut.
“Kami akan menyerahkan semua kertas siasatan yang telah lengkap kepada pihak pendakwaan pada Isnin depan. Jika ada pertuduhan yang akan dikenakan, saya akan memaklumkan kepada media.
“Ia juga bergantung kepada timbalan pendakwa raya. Mereka mungkin mengenal pasti individu lain untuk didakwa sebagai bersubahat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Azam berkata, keutamaan SPRM ketika ini adalah untuk menyelesaikan siasatan utama mengikut garis masa yang telah ditetapkan.
“Apa yang penting buat masa ini ialah siasatan utama akan diselesaikan menjelang Isnin,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan terhadap kartel kontrak perolehan berkenaan dianggap amat sensitif kerana bukan sahaja melibatkan jumlah wang yang besar, malah membabitkan kedudukan tinggi pegawai yang terlibat dalam struktur pertahanan negara.


