MENTERI Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, Kementerian itu komited sebagai peneraju perubahan iklim, sumber asli dan kelestarian alam dengan menetapkan 10 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang disasarkan dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran beliau.
Katanya, sasaran ini memberi fokus kepada pengurusan sumber asli secara mampan;pemuliharaan biodiversiti dan pengurusan hutan; kelestarian alam sekitar dan kawalan pencemaran serta mitigasi dan adaptasi perubahan iklim.
‘’Menjelang Mac 2026, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan membentangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dan RUU Pihak Berkuasa Perubahan Iklim Negara (RUUIKLIM) untuk bacaan kali pertama di Parlimen,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, menerusi RUU itu ia akan memberi impak pengurangan intensiti pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) merentasi ekonomi sebanyak 45% berdasarkan KDNK pada tahun 2030 bagi menyokong aspirasi negara untuk mencapai pelepasan GHG sifar bersih pada tahun 2050.
‘’NRES komited dalam penggubalan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) bagi pelaksanaan mekanisme perdagangan karbon terutamanya di bawah Artikel 6 Perjanjian Paris.
‘’Di bawah DPKK, satu mekanisme jelas dibangunkan bagi memangkin penglibatan sektor swasta serta perbankan dalam pasaran karbon melalui pembentukan ekosistem penjualan kredit karbon di pasaran dan pematuhan antarabangsa,’’ katanya.
Beliau berkata, NRES komited dalam usaha menyerahkan kuasa kawalselia bahan terjadual di bawah Fasal 95C Perlembagaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak.
‘’Dalam konteks ini, Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 akan dibuat dengan sasaran pembentangan di Parlimen pada Mac 2026,’’ katanya.
Selain itu, kata beliau, program Low Carbon City 2030 Challenge memainkan peranan penting dalam memacu transformasi bandar ke arah bandar rendah karbon, seterusnya menyumbang kepada komitmen negara untuk mengurangkan pelepasan GHG sebanyak 45% pada tahun 2030.
‘’Bagi menangani isu pencemaran plastik, kementerian akan melancarkan Kempen Hindari Plastik Sekali Guna dengan tagline “Bebas Plastik, Selamat Bumi” di seluruh negara. Kempen ini juga selari dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) Kerajaan MADANI,’’ katanya.
Arthur berkata, elalui kempen ini, kementerian ingin menerapkan amalan “Bawa Beg Sendiri” (bring your own beg) dalam kalangan masyarakat dan komuniti perniagaan sebagai satu amalan hidup.
‘’Bagi tahun 2026, Kerajaan telah menetapkan peruntukan khusus untuk perlindungan khazanah alam seperti Dana EFT (Ecological Fiscal Transfer). Sebanyak RM250 juta diperuntukkan (meningkat daripada RM200 juta pada tahun-tahun sebelumnya),’’ katanya.
Daripada jumlah tersebut, kata beliau RM50 juta akan disalurkan terus sebagai hasil kepada kerajaan negeri bagi menghargai usaha mereka mengekalkan kawasan hutan simpan.
‘’Kementerian turut menyasarkan penyaluran pertama peruntukan EFT tahun 2026 berjumlah RM100 juta kepada kerajaan negeri sebelum akhir Januari 2026 dan penyaluran kedua ke atas baki peruntukan berjumlah RM100 pada April 2026,’’ katanya.
Beliau berkata,peruntukan EFT bertujuan untuk meningkatkan keluasan kawasan perlindungan yang baharu seperti yang disasarkan di Bawah Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030.
‘’NRES akan melaksanakan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3). Menjelang Mac 2026, disasarkan sekurang-kurangnya tiga (3) OBK untuk memburu pemburu haram dan penceroboh khazanah negara. Ini bagi memastikan kelestarian khazanah biodiversiti negara dapat dikekalkan.
‘’Sebanyak RM80 juta disediakan untuk membiayai 2,500 renjer komuniti (terdiri daripada Orang Asli dan veteran ATM/PDRM) bagi memantau pencerobohan hutan dan pemburuan haram,’’ katanya.
Beliau berkata, NRES juga akan memuktamadkan dan memeterai perjanjian konsesi Sistem e-Tanah secara Kerjasama Awam Swasta bagi Negeri Pahang. ‘’
‘’Dengannya, ia dapat menyelesaikan isu tertunggak dengan mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri bagi penyerahan 4 lot tanah milik Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
‘’NRES dan JKPTG akan menyelesaikanisu hak milik strata yang tertunggak bagi “bangunan khas”, terutamanya kediaman kos rendah milik golongan B40.


