BEKAS Ketua Jualan Malaysia Building Society Berhad (MBSB) Bank cawangan ibu pejabat didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di Shah Alam, hari ini kerana gagal melaporkan penerimaan wang suapan berjumlah RM4,520.
Tertuduh, Mohd. Rais Mohamed Ramli, 45, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan pilihan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara selama tiga bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan, namun tertuduh membayar denda tersebut pada hari yang sama.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Rais didakwa menerima wang berjumlah RM4,520 daripada Tetuan Tan Norizan & Associates melalui akaun Maybank milik syarikat isterinya, Anugerah Qaseh Enterprise sebagai suatu upah kerana membantu firma guaman itu mendapatkan rujukan kes melibatkan urusan pinjaman perumahan dengan MBSB Bank.
Perbuatan itu didakwa dilakukan ketika tertuduh berkhidmat sebagai Ketua Jualan Ibu Pejabat MBSB Bank, dengan membantu urusan melalui pegawai eksekutif bank yang berada di bawah seliaannya, namun gagal melaporkan pemberian suapan tersebut kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai polis terdekat tanpa sebarang halangan munasabah.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009.
Mahkamah turut memerintahkan pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 diambil kira sebagai pertimbangan (TIC) mengikut Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari, manakala tertuduh diwakili peguam Chua Yong Yi.


