PAPTI anjur persidangan antarabangsa sempena tujuh dekad hubungan Malaysia-Indonesia

PERSATUAN Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa: Menyusuri Tujuh Dekad Hubungan Malaysia-Indonesia di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC)  Kuala Lumpur pada 23 Januari ini.

Presiden PAPTI, Datuk Dr. Abdul Latiff Awang berkata, persidangan yang memberi fokus kepada bidang warisan, seni dan budaya, pelancongan serta pendidikan itu menampilkan tokoh-tokoh dalam bidang berkaitan dari kedua-dua negara.

Beliau berkata, sebanyak tiga sesi persidangan akan berlangsung bermula pukul 8 pagi sehingga pukul 5 petang iaitu Rumpun Nusantara: Berkongsi Warisan, Seni dan Budaya; Malaysia dan Indonesia sebagai Hub Pendidikan dan Pelancongan serta Memperkasa Pendidikan Tinggi di Malaysia dan Indonesia.

“Persidangan yang julung kali ini diadakan bersempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun PAPTI,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Dr. Abdul Latiff berkata, antara tokoh yang bakal membentangkan kertas kerja masing-masing ialah antaranya mantan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Tan Sri Dr. Mohamed Salleh Mohamed Yasin; mantan Fellow Penyelidik Kanan ATM UKM, Prof. Dr. Noriah Mohamad dan Prof. Emeritus Datuk Dr. Muhammad Yahya, juga dari UKM.

Manakala ahli panel dari Indonesia pula antaranya Rektor Umum Universitas Islam Negeri Medan, Sumarera Utara, Prof. Dr. Norhayati; Pembantu Rektor IV, Institut Teknologi Bandung, Dr. Andryanto Rikrik Kusmara dan Guru Besar Ilmu Hukum, Universitas Nasional, Jakarta, Prof. Dr. Rumainur.

Selain persidangan antarabangsa, PAPTI turut mengadakan Pertandingan Golf Amal pada Sabtu ini dan kemuncaknya majlis makan malam perdana  pada 23 Januari yang bakal menghimpun kira-kira 1,000 alumni dari angkatan 1970-an sehingga ke hari ini.

Untuk rekod, PAPTI ditubuhkan pada 29 November 1975 oleh sekumpulan rakyat Malaysia lepasan institusi pendidikan tinggi di Indonesia.

Sehingga kini, dianggarkan lebih 30,000 rakyat Malaysia telah menimba ilmu dari negara jiran dan menyumbang kepada pelbagai bidang di tanah air.

Sejak ditubuhkan, PAPTI kekal aktif menjadi wadah memperkukuh hubungan Malaysia dan Indonesia dari segi “people-to-people”.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img