PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pelabuhan Klang berjaya merampas pelbagai jenis barangan kosmetik, makanan, minuman, ubat ubatan termasuk ubat kuat dari negara jiran selepas menyerbu sebuah premis yang beroperasi sejak dua tahun lalu di Taman Medan, Petaling Jaya pada Selasa lalu.
Pemangku Komander PPM Wilayah Satu, Superintenden Fakharuddin Amri Sanusi berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 1.30 petang daripada orang awam mengenai kegiatan sebuah premis yang menjalankan aktiviti pengedaran produk itu di Jalan Medan di Taman Medan membabitkan rampasan RM910,750.
Beliau berkata, pasukan itu kemudian membuat pemantauan selama 20 minit di lokasi premis untuk mengenal pasti barangan yang dijual.
“Selepas pemantauan, pasukan serbuan kemudian masuk ke premis dan pemeriksaan mendapati produk kosmetik, makanan dan minuman termasuk ubat kuat disyaki tiada kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Semasa menjalankan pemeriksaan terdapat seorang wanita berusia 48 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis dan ketika diminta mengemukakan dokumen KKM wanita terbabit gagal menunjukkannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua rampasan diserahkan kepada KKM dan kes ini disiasat mengikut Akta Racun 1952 (Akta Racun 1952 Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik) serta Akta Makanan 1983.


