SEKURANG-kurangnya enam rakyat Palestin terbunuh pada Khamis dalam satu serangan Israel yang menyasarkan sebuah rumah di tengah Gaza, dalam apa yang disifatkan sebagai “pelanggaran terang-terangan dan berulang” terhadap perjanjian gencatan senjata, menjadikan jumlah kematian akibat serangan Israel sejak pagi berkenaan meningkat kepada 10 orang.
Menurut sumber tempatan, satu serangan udara Israel menyasarkan rumah keluarga Al-Houli di Deir Al-Balah, tengah Gaza, mengorbankan enam orang termasuk komander Briged Al-Qassam, Abu Fouad Al-Houli, serta seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun, dan mencederakan beberapa yang lain.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan bahawa dua rakyat Palestin terbunuh dalam satu serangan Israel di Rafah dalam tempoh 24 jam lalu.
Sebagai tindak balas, Hamas menyatakan bahawa Israel telah melakukan “satu jenayah baharu dengan mengebom rumah keluarga Al-Houli”.
Menurut Hamas, jenayah kejam ini serta serangan berulang terhadap rakyat Palestin di seluruh Semenanjung Gaza merupakan pelanggaran jelas dan berulang terhadap perjanjian gencatan senjata.
Tambah kenyataan itu, serangan tersebut “sekali lagi mengesahkan bahawa penjajah fasis tidak mematuhi perjanjian dan dengan sengaja berusaha untuk melemahkannya, sekali gus membuka jalan kepada penyambungan semula perang genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza”.
Ia juga “membuktikan sikap tidak peduli secara terang-terangan penjenayah perang, Benjamin Netanyahu, terhadap perjanjian gencatan senjata yang dicapai di bawah tajaan Amerika Syarikat dan dijamin oleh para pengantara”.
Serangan itu berlaku sehari selepas Amerika Syarikat mengumumkan permulaan fasa kedua pelan gencatan senjata Gaza yang diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump, dengan menyatakan bahawa fasa pertama telah “menyalurkan bantuan kemanusiaan bersejarah dan mengekalkan gencatan senjata”, walaupun Israel didakwa telah melanggar perjanjian tersebut lebih 1,200 kali, mengorbankan ratusan orang awam serta menghalang kemasukan bantuan yang amat diperlukan ke wilayah berkenaan.
Pejabat Media Kerajaan Gaza memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 449 rakyat Palestin terbunuh dan 1,246 yang lain cedera akibat serangan Israel di Gaza sejak gencatan senjata bermula.


