SEORANG ahli perniagaan kerugian hampir RM3 juta selepas diperdaya sindiket penipuan mendakwa mangsa terbabit kes pengubahan wang haram.
Mangsa, lelaki berusia 64 tahun sebelum itu dihubungi sindiket penipuan yang menyamar sebagai polis dan timbalan pendakwa raya.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, mangsa dikatakan terbabit kes pengubahan wang haram dan bagi menyelesaikan dakwaan itu, dia perlu memasukkan wang berjumlah RM2,707,965 ke dalam akaunnya.
Beliau berkata, bermula September lalu hingga awal bulan ini, mangsa tidak dibenarkan membuat sebarang transaksi ke akaun bank lain, kecuali akaun yang diberikan suspek.
“Mangsa juga tidak dibenarkan memeriksa transaksi akaun banknya sepanjang tempoh itu.
“Sebanyak 55 transaksi dalam talian dan deposit tunai dilakukan mangsa ke lima akaun bank yang diberikan suspek kononnya bagi menyelesaikan kes itu,” katanya, lapor Harian Metro.
Menurut Mohd Khairi, mangsa yang menyedari ditipu selepas membuat semakan dengan agensi berkaitan, membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu semalam.
Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai agar lebih peka terhadap sebarang panggilan telefon diterima dan tidak sewenang-wenangnya mempercayai apa yang dikatakan pemanggil.
“Semakan juga boleh dibuat melalui pihak berkuasa berkait sebarang dakwaan dibuat pemanggil bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan melalui panggilan telefon,” katanya sambil menambah kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


