BEKAS Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang dicetuskan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi akan membuka ruang penyatuan Melayu.
Selain itu kata beliau, ia juga akan merapatkan jurang perbezaan dan menyatukan kembali kekuatan politik Melayu termasuk membawa masuk kembali mereka yang berada ‘di luar’.
‘’Namun saya berharap semua pihak benar-benar ikhlas dan jujur untuk melaksanakan agenda besar ini demi agama, bangsa dan tanah air,’’ katanya yang juga bekas Perdana Menteri dalam kenyataan.
Ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO 2025 hari ini, Ahmad Zahid berkata ‘Rumah Bangsa’ UMNO lebih sesuai menyatukan orang Melayu berbanding payung besar yang didakwa gagal sebelum ini.
Ismail Sabri yang turut hadir ke perhimpunan tersebut seterusnya berkata, beliau menyambut baik ucapan Ahmad Zahid terutamanya penekanan terhadap penyatuan dan bukan pemisahan bagi memperkukuhkan UMNO.
‘’Dalam keadaaan hari ini, penyatuan ummah Melayu amat penting bagi memastikan kedudukan agama dan bangsa tidak terancam,’’ katanya.
Mengenai UMNO, Ismail Sabri berkata parti itu perlu bangkit dan keluar dari nostalgia kegemilangan UMNO.
‘’UMNO perlu menerima hakikat semasa bahawa orang Melayu sudah tidak bersama kita lagi. Sokongan orang Melayu kepada kita hanya sekitar 28 peratus sahaja,’’ katanya.


