BEKAS Presiden Korea Yoon Suk Yeol dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada Jumaat atas pelbagai pertuduhan berkaitan pengisytiharan undang-undang tentera yang dibuatnya.
Keputusan mahkamah yang disiarkan secara langsung itu merupakan keputusan kehakiman pertama yang menentukan tanggungjawab Yoon berhubung penguatkuasaan pemerintahan tentera pada 3 Disember 2024.
Panel hakim di Mahkamah Daerah Pusat Seoul mensabitkan Yoon atas beberapa pertuduhan, termasuk melanggar hak perlembagaan menteri-menteri untuk bermesyuarat dan bermuafakat mengenai pengisytiharan undang-undang tentera, menghalang secara serius pelaksanaan waran tangkap yang sah, serta memalsukan dan memusnahkan dokumen rasmi.
Mahkamah menegaskan bahawa undang-undang tentera kecemasan merupakan langkah yang “amat luar biasa” dan hanya boleh dilaksanakan apabila tiada pilihan lain untuk mengatasi krisis negara.
“Hakikat bahawa Perlembagaan secara khusus mewajibkan perbincangan sebelum pengisytiharan undang-undang tentera bertujuan mencegah penyalahgunaan kuasa Presiden dan mengekang keputusan secara unilateral.
‘’Oleh itu, Presiden mesti, lebih-lebih lagi berbanding mesyuarat Kabinet biasa, mendengar pandangan semua anggota Kabinet dengan teliti dan bertindak dengan penuh berhati-hati,” kata Hakim Baek Dae-hyun.
“Namun Yoon, dalam tindakan yang belum pernah berlaku sebelum ini, hanya memaklumkan sebahagian anggota Kabinet mengenai mesyuarat pengisytiharan undang-undang tentera, sekali gus melanggar Perlembagaan secara langsung dan menafikan hak perbincangan menteri-menteri yang tidak dimaklumkan.”
Mahkamah turut mendapati Yoon bersalah kerana menyalahgunakan kuasanya untuk menghalang siasatan yang sah. Ia memutuskan bahawa beliau telah menggunakan Perkhidmatan Keselamatan Presiden untuk menggagalkan pelaksanaan waran tangkap oleh penyiasat dari Pejabat Penyiasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi pada 3 Januari 2025, selepas beliau dipecat melalui undi pemecatan di Perhimpunan Kebangsaan.
“Semasa siasatan, beliau menyalahgunakan pengaruh besar yang dimilikinya sebagai presiden untuk menghalang pelaksanaan waran yang sah, dan demi kepentingan peribadinya sendiri, telah menjadikan Perkhidmatan Keselamatan Presiden sebagai pengawal peribadi,” kata hakim.
“Namun tertuduh terus mengemukakan alasan yang tidak munasabah dan tidak menunjukkan sebarang tanda penyesalan atau keinsafan atas kesalahannya.”
Mahkamah juga memutuskan bahawa Yoon telah memanipulasi tarikh dan tandatangan pada dokumen utama berkaitan undang-undang tentera, yang disifatkan sebagai “pengisytiharan palsu”.
Hakim mendapati dokumen yang sebenarnya dihasilkan pada 7 Disember 2024 telah diubah suai untuk kelihatan seolah-olah undang-undang tentera telah diisytiharkan secara sah pada 3 Disember, satu manipulasi yang disifatkan mahkamah sebagai pembohongan nyata yang memperlekehkan kedaulatan undang-undang.
“Menghasilkan dokumen bagi mewujudkan gambaran bahawa keperluan prosedur telah dipenuhi, kemudian membuangnya secara sewenang-wenangnya, adalah satu pengabaian terhadap kewajipan mempertahankan Perlembagaan,” kata hakim.
Bagaimanapun, mahkamah membebaskan Yoon daripada pertuduhan bahawa beliau mengarahkan pegawai presiden mengedarkan kepada media asing satu dokumen panduan akhbar yang mengandungi dakwaan palsu bahawa beliau tidak berniat untuk menggugat susunan Perlembagaan. Mahkamah memutuskan pertuduhan itu tidak memenuhi ambang liabiliti jenayah.
Yoon hadir ke mahkamah memakai kemeja putih dan jaket sut berwarna biru gelap. Wajahnya kelihatan tegang ketika memasuki dewan mahkamah. Sepanjang pembacaan keputusan, Yoon kelihatan gelisah, kerap berkelip dan pandangannya tidak tetap.
Selepas keputusan diumumkan, peguam Yoon memberitahu wartawan bahawa mereka akan memfailkan rayuan.
Secara berasingan, kes utama berkaitan undang-undang tentera, di mana Yoon didakwa sebagai ketua pemberontakan, masih dalam perbicaraan. Mahkamah dijadualkan membuat keputusan bagi kes tersebut pada 19 Februari. Pada perbicaraan penutup yang diadakan Selasa lalu, pendakwa khas memohon agar Yoon dijatuhi hukuman mati.
Sabitan pada Jumaat itu berpotensi mempengaruhi keputusan dalam perbicaraan-perbicaraan lain yang sedang dihadapinya.
Undang-undang tentera yang diisytiharkan pada Disember 2024 telah dibatalkan beberapa jam kemudian oleh Perhimpunan Kebangsaan, yang meluluskan resolusi menuntut penarikannya.
Dalam minggu-minggu berikutnya, ahli-ahli parlimen mengundi untuk memecat beliau. Pada April 2025, Yoon akhirnya digugurkan daripada jawatan selepas Mahkamah Perlembagaan mengesahkan pemecatan tersebut.


