POLIS menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk meneliti kemungkinan wujud unsur kecuaian dalam insiden letupan pemampat pendingin udara di kampus Universiti HELP di Bukit Damansara pada Isnin lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, walaupun setakat ini tiada bukti awal menunjukkan berlaku faktor kecuaian, aspek tersebut kekal sebagai antara fokus utama siasatan.

“Biasanya dalam kes melibatkan bencana atau kejadian seperti ini, siasatan akan melibatkan semua pihak berkaitan dan meneliti semua aspek termasuk kemungkinan kecuaian.
“Jika terdapat kecuaian yang menyebabkan kecederaan atau kemalangan, ada kesalahan boleh disiasat,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Cheras di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi Isnin lalu, seorang penuntut lelaki maut manakala sembilan lagi cedera apabila pemampat pendingin udara meletup.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Soo Yu Juan, 24, pelajar tahun ketiga kursus kejuruteraan mekanikal Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang sedang menjalani latihan industri di universiti itu.
Fadil dalam pada itu berkata, jika elemen kecuaian dikenal pasti, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak bertanggungjawab mengikut peruntukan undang-undang.
Menurut beliau, setakat ini siasatan masih pada peringkat awal dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Selain itu, Fadil berkata bangunan terlibat telah diserahkan kepada pemilik manakala tiga mangsa yang cedera masih menerima rawatan di hospital manakala seorang lagi telah dibenarkan pulang.


