CERAMAH Ustaz Wadi Annuar di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan yang sebelum ini dibatalkan akan dijadualkan semula pada tarikh baharu lebih sesuai.
Ketik memaklumkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengesahkan beliau sendiri telah menghubungi Ustaz Wadi bagi mendapatkan pengesahan berhubung isu berkenaan.
“Alhamdulillah, Ustaz Wadi Annuar dengan berlapang dada menerima undangan dan akan memilih tarikh baharu yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Mohd Na’im berkata, beliau juga telah menghubungi Pengerusi dan pewakaf Masjid Sri Sendayan, Tan Sri Rashid Hussain untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Ustaz Wadi, Rashid serta Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid atas kerjasama dan usaha memakmurkan rumah ibadah itu.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terus berusaha mengimarahkan masjid sama ada melalui ceramah, pembangunan, pemeliharaan mahupun aktiviti ibadah,” katanya.
Mohd Na’im berkata, masjid perlu diperkasakan sebagai pusat peradaban Islam yang mampu memberdayakan umat serta mengangkat karamah insaniah.
“Semoga ALLAH menerima setiap ikhtiar kita dan menjadikan masjid serta surau sebagai tempat yang penuh barakah dan rahmat-Nya,” katanya.
Isu pembatalan ceramah Ustaz Wadi kecoh apabila dilakukan pada saat-saat akhir. Ceramah itu sepatutnya diadakan pada Sabtu lalu (6 September).
Ketika mengulas perkara itu sebelum ini,Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan bahawa beliau mahupun kerajaan negeri tidak terlibat dalam isu pembatalan ceramah pendakwah terkenal tersebut.
Menurut Aminuddin, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai program Healing De’ Masjid tersebut kerana ia bukan di bawah anjuran kerajaan negeri.
“Saya memang tidak terlibat dan tidak dimaklumkan langsung mengenai ceramah itu. Apabila saya baca mengenai pembatalan ceramah tersebut, saya sendiri pun terperanjat. Saya harap mereka yang rasa teraniaya perlu beri penjelasan, jangan sampai menimbulkan fitnah kepada pihak lain, khususnya kerajaan negeri,” katanya.


