TIGA pengarah syarikat pembinaan termasuk seorang kenamaan bergelar Tan Sri akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.
Ia susulan kes tuntutan palsu berkaitan dengan projek sebuah lebuh raya di Lembah Klang, yang disiasat secara besar-besaran oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.
Isterinya yang bergelar Puan Sri juga akan dituduh di Mahkamah Sesyen, pagi ini, lapor Berita Harian.
Tan Sri berkenaan difahamkan, akan berdepan dua pertuduhan membabitkan Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan pengubahan wang haram (AMLA).
Isterinya akan dituduh di bawah AMLA manakala seorang lagi pengarah pula difahamkan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Kesemua tiga individu itu akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 9 pagi ini.
Sehingga Jun lalu, SPRM menyiasat penyelewengan dana sukuk sebuah lebuh raya di Lembah Klang membabitkan kenamaan itu.
Pasukan penyiasat SPRM beberapa kali hadir ke kediaman ahli perniagaan bergelar Tan Sri untuk merekod keterangannya.
Sebelum ini, SPRM menyita aset dalam negara berjumlah RM141 juta serta sedang mengesan aset luar negara bernilai RM15 juta yang dikaitkan dengan penyelewengan dana sukuk bagi projek pembinaan lebuh raya berkenaan.
Jumlah yang disita membabitkan akaun individu RM4.5 juta, akaun syarikat RM33 juta, kondominium mewah dan tanah RM24.5 juta, jam tangan mewah RM26 juta, sembilan unit kereta mewah RM7.65 juta dan barangan kemas serta berlian RM10 juta.
Barangan lain yang disita adalah tas tangan mewah RM6 juta, jongkong, patung emas dan syiling emas yang dianggarkan bernilai RM3 juta serta empat ekor kuda bernilai RM400,000.


