28 PATI menyorok dalam ruang simpanan ikan bot kayu

SINDIKET penyeludupan yang cuba menyembunyikan seramai 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam ruang simpanan ikan sebuah bot kayu untuk diseludup keluar dari negara ini gagal apabila dipintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, awal pagi ini.

Dalam Op Ehsan dan Op Khas Tanjung 2 siri 1/2026 itu, Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan di perairan Kuala Selangor sebelum ditahan kira-kira jam 4.15 pagi.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Selangor, Komander Maritim Mohd Fairusnizam Abdul Razak berkata, vesel tersebut telah diarahkan berhenti untuk pemeriksaan namun juragan bot enggan mematuhi arahan dan melarikan diri.

“Selepas kira-kira 15 minit bot kayu itu dikejar, anggota operasi berjaya memintas dan menahannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas bot kayu itu mendapati seramai 28 orang PATI sedang menyorok di ruang bawah tempat menyimpan ikan dalam bot, selain seorang tekong dan tiga awak-awak warga Indonesia.

Kata beliau, kesemua tangkapan warga asing itu terdiri daripada 23 lelaki dan sembilan wanita berusia antara 24 hingga 60 tahun yang dipercayai cuba keluar dari Malaysia secara haram selain gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” ujarnya.

Mohd Fairusnizam menegaskan Maritim Malaysia akan terus memperketat kawalan dan meningkatkan rondaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya penyeludupan migran di perairan negara.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau sebarang insiden di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Selangor di talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” ujarnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img