DATUK Seri Anwar Ibrahim sibuk sepanjang hari dengan urusan negara justeru jika ada ruang untuk menyapa rakyat, Perdana Menteri tidak akan melepaskannya.
Itulah yang beliau lakukan hari ini apabila sempat menyantuni sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Zon R1 Wangsa Maju, Kuala Lumpur ketika dalam perjalanan untuk makan tengah hari sebelum solat Jumaat.
‘’Dalam kesempatan tersebut saya turut bertanya mengenai minggu pertama persekolahan mereka, selain menitipkan pesan agar terus menuntut ilmu dengan tekun, memelihara disiplin serta menjadikan adab dan akhlak sebagai teras pembentukan diri,’’ kata Perdana Menteri melalui akaun Telegram beliau.

Sementara itu, ketika singgah makan tengah hari di Restoran Salai-Salai Sri Rampai bersama waga Wangsa Maju, Anwar berkata, beliau berkesempatan bertukar pandangan dan mendengar secara terus pelbagai hal yang dekat dengan kehidupan rakyat.
Bagi pelajar-pelajar dan orang ramai yang disapa serta sempat beramah mesra dengan Perdana Menteri pasti ia akan menjadi kenangan manis untuk mereka.


