SEORANG pemandu lori dan kelindannya maut akibat dihempap lori 10 tan membawa muatan batu semasa kedua-dua mereka membaiki brek lori berkenaan di Jalan Mambong, Siburan, Sarawak hari ini.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 2 petang.

“Kejadian berlaku apabila kedua-dua mangsa iaitu pemandu dan kelindan lori sedang membaiki brek lori di kawasan jalan kuari sebelum dihempap dan tersepit di bawah lori.
“Pasukan bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di mana mangsa pertama dikeluarkan pada jam 4.55 petang manakala mangsa kedua pula berjaya dibawa keluar pada jam 5.04 petang,” kata kenyataan itu.
Mayat kedua-dua mangsa yang berusia 46 tahun dan 26 tahun itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.10 petang.


