Bapa cuba selamatkan anak dikhuatiri lemas di Gua Musang

SEORANG bapa dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan anak lelakinya berusia 10 tahun yang dihanyutkan arus deras Sungai Relai di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir 1, di Gua Musang, Kelantan petang ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Mohamad Fakarudin Abdul Halim @ Awang, 40, dikatakan tenggelam selepas berjaya menyelamatkan anaknya sebelum dihanyutkan arus deras sungai.

Rakan mangsa, Mohamad Zukhairul Ismail, 40, berkata, semasa kejadian, isteri serta anaknya ke sungai berkenaan bersama Mohamad Fakarudin dan keluarganya.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila anak lelaki Mohamad Fakarudin dikatakan mahu mengambil seliparnya yang dihanyutkan air di kawasan cetek.

“Kemudian anaknya itu dihanyutkan arus deras. Rakan kami ini cuba menyelamatkan anaknya.

“Pada awalnya mereka berdua tenggelam, kemudian timbul kembali dan Mohamad Fakarudin dikatakan telah mencampak anaknya ke tebing sebelum dia dihanyutkan arus deras,” katanya ketika dihubungi, lapor Sinar Harian.

Menurutnya lagi, anak lelaki Mohamad Fakarudin yang berpaut pada tebing sungai telah diselamatkan oleh seorang lagi anak lelakinya yang berusia 15 tahun.

Tambahnya, dia tidak berada di lokasi kejadian kerana sedang bekerja dan terus bergegas ke sana selepas menerima panggilan daripada anaknya yang memaklumkan kejadian tersebut.

Mohamad Zukhairul memberitahu, mereka kemudian menghubungi bomba dan penyelamat untuk mendapatkan bantuan dan orang ramai turut membantu mencari Mohamad Fakarudin.

“Namun sehingga kini, dia masih belum ditemui,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Penguasa Bomba Nor Azizi Che Noh berkata, pasukan penyelamat tiba di lokasi sekitar jam 5.30 petang.

Beliau berkata, seramai lapan anggota terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) tersebut.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img