BERSATU tidak pernah memberikan mandat secara rasmi kepada mana-mana pimpinan parti untuk berunding dengan UMNO, tegas Presidennya Tan Sri Muhyyidin Yassin.
Beliau berkata, perkara itu juga tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
‘’Saya ingin menegaskan bahawa sebarang perbincangan rentas parti yang melibatkan sebarang bentuk kerjasama antara Bersatu dan UMNO hendaklah diadakan mengikut saluran rasmi parti dengan dihadiri oleh kepimpinan tertinggi kedua-dua parti,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam dalam ucapan penangguhan di Perhimpunan Agung UMNO, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) mengesahkan berlaku pertemuan dengan pemimpin Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung penyatuan orang Melayu menerusi kolaborasi agung.
Menurut Ahmad Zahid, perjumpaan yang disifatkan secara tidak langsung itu turut melibatkan beberapa parti politik Melayu lain.
“UMNO sebagai parti politik Melayu-Islam terbesar, kita mengambil langkah ke hadapan untuk mengajak parti lain bersama-sama mengambil langkah proaktif dan strategik bagi menggabungkan seluruh tenaga dan pemikiran dengan parti politik ini untuk mengadakan muzakarah atau perbincangan,’’ kata Ahmad Zahid.
Muhyiddin yang meletakkan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pada 1 Januari lalu berkata, perbincangan hendaklah diadakan secara telus dengan mengambil kira semua faktor termasuk pandangan rakan-rakan parti anggota PN dan kedudukan UMNO dalam kerajaan perpaduan.
‘’Saya ingin mengambil sikap terbuka dalam hal ini. Bersatu akan menimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh Presiden UMNO setelah mendapat input yang lebih jelas mengenainya,’’ katanya.


