Seorang lagi mangsa kemalangan lori terbabas di Rompin meninggal dunia

SEORANG pekerja ladang warga Bangladesh yang cedera parah dalam kemalangan lori yang meragut nyawa dua rakan senegara di Jalan Selancar–Redong di Rompin semalam, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Segamat, Johor hari ini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa, Mohamad Askar, 41, yang parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.15 petang tadi.

Beliau berkata, susulan kemalangan yang meragut nyawa tiga penumpang lori itu, polis turut menahan pemandunya yang juga warga Bangladesh untuk siasatan lanjut.

“Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Rabu depan,” katanya, lapor Sinar Harian.

Media semalam melaporkan dua pekerja ladang sawit warga Bangladesh maut selepas lori yang dinaiki bersama dua rakan senegara terbabas ketika cuba memotong kenderaan lain.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.25 petang itu, Md Kader, 34, dan Md Dalim, 30, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohamad Askar cedera parah di bahagian kepala manakala pemandu lori, Kiron, 45, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan awal polis mendapati kesemua mereka yang bekerja di Segamat, Johor, dipercayai menaiki lori milik majikan dalam perjalanan dari arah Felda Redong menghala ke Felda Selancar.

Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu lori dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan.

Akibat kemalangan tersebut, lori jenis Daihatsu V57A yang membawa muatan racun sawit terbalik.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img