Kementerian Pertahanan beri amaran jangan sebar maklumat perjawatan strategik ATM

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat menyebarkan maklumat berkaitan urusan perjawatan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di media sosial.

MINDEF dalam satu kenyataan  memberitahu tindakan tersebut, termasuk menularkan senarai nama pegawai kanan ATM, adalah satu bentuk salah laku yang jelas mencabar kredibiliti sistem pengurusan pertahanan negara.

 “Tindakan mendahului proses rasmi ini bukan sahaja membuka ruang kepada persepsi negatif, malah boleh menjejaskan moral pegawai serta mengganggu gugat rantaian pemerintahan dalam ATM.

“Perlu dijelaskan bahawa sebarang ketetapan perjawatan dan kenaikan pangkat pegawai ATM adalah tertakluk kepada perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM atas nasihat Majlis Angkatan Tentera (MAT),” katanya.

MINDEF berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebarkan maklumat sulit kerajaan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, ia termasuk di bawah Akta Angkatan Tentera 1972 atau Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berikutan penyebaran maklumat dalaman kerajaan di platform media sosial.

Justeru, sebarang hebahan pramatang dianggap sebagai satu bentuk ketidakhormatan kepada institusi Diraja dan hierarki kepimpinan ATM.

MINDEF turut memberi peringatan, sebaran maklumat sulit atau dalaman secara terbuka boleh mengundang ancaman kepada keselamatan maklumat serta kedaulatan negara.

MINDEF menasihatkan orang ramai supaya menghentikan serta-merta sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan, mencemarkan imej ATM, serta mengelirukan masyarakat.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak memuat naik, mengulas atau menyebarkan semula kandungan berunsur spekulasi tersebut, sebaliknya merujuk pengumuman rasmi melalui saluran Kementerian dan ATM,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img