Agong kecewa kes rasuah dalam ATM, mahu gejala itu diperangi secara besar-besaran

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan ketegasan untuk membanteras rasuah secara menyeluruh, sambil menyatakan kekecewaan kes rasuah yang berlaku dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hingga ke peringkat tertinggi.

Seri Paduka Baginda, bertitah segala perancangan yang dilaksanakan tidak akan sempurna jika amalan rasuah masih berleluasa.

“Agaknya selepas ini saya patut lantik Sarjan sahaja menjadi PAT (Panglima Angkatan Tentera). Saya pernah sebut dahulu, yang saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu perasuah, dan nampaknya saya telah berjaya jumpa.

“Ini hanyalah ‘sekelumit daripada segunung’ atau ‘the tip of the iceberg’. Saya yakin ada ramai lagi di luar sana, sama ada di Jabatan Kastam, Imigresen, Polis dan sebagainya, serta termasuk juga yang berada di dalam dewan ini, yang akan terus diburu sampai jumpa,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Titah Diraja bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.Seri Paduka Baginda, bertitah menegaskan rasuah mesti diperangi secara besar-besaran dan rakyat perlu menjadi mata dan telinga dengan melaporkan sebarang salah laku.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah bahawa bukan sahaja penerima rasuah wajar disiasat, malah pemberi rasuah serta ejen yang bersubahat juga mesti dikenakan tindakan tegas.

Seri Paduka Baginda menitahkan agar  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  menjalankan siasatan dengan pantas, tegas dan sempurna tanpa mengira pangkat atau kedudukan, selain kerajaan disaran menyediakan hakim berpengalaman serta laluan khas di mahkamah bagi mempercepatkan perbicaraan kes rasuah.

Sultan Ibrahim bertitah, mengingatkan semua Ahli Yang Berhormat dan penjawat awam bahawa jawatan yang disandang merupakan amanah rakyat dan negara.

“Sesiapa yang menyalahgunakan kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuah atau melindungi perasuah adalah dianggap sebagai pengkhianat negara’,” titah Seri Paduka Baginda.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img