Penduduk Taman Anjung Gapam derma 42 beg darah kepada Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka

JABATAN Perubatan Transfusi (Tabung Darah) Hospital Melaka berjaya mengumpul 42 beg  darah dalam Program Derma Darah di Taman Anjung Gapam, Bemban pada Sabtu lalu.

Taman perumahan itu merupakan salah satu  daripada empat lokasi yang disenaraikan dalam program tersebut. Sebelumnya ia dijalankan secara tertutup di Maruwa (M) Sdn Bhd pada 13 Januari dan Politeknik Kota Melaka pada  15 Januari manakala semalam di Wisma Teladan.

Kaum wanita turut tidak ketinggalan menderma darah.

Seramai 11 kakitangan Kementerian Kesihatan terlibat  dalam program di Taman Anjung Gapam yang merupakan  aktiviti kolaborasi Persatuan Penduduk Jalan  Tulip Taman Anjung Gapam (PPJTTAG) , Surau Taman Anjung Gapam dan Persatuan Penduduk Taman Anjung Gapam (PPTAG) kali ke-2 tahun ini.

Menurut Pengerusi PPTAG Kapten M Farhan M Yusof, program itu memberi peluang kepada penduduk menderma darah berdekatan kawasan tempat tinggal mereka.

‘’Ia merupakan sebahagian usaha kita dalam membantu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan bekalan darah dan kita percaya apa yang kita lakukan sedikit banyak boleh menampung kekurangan bekalan darah di hospital,’’ katanya.

Pengerusi PPJTTAG, Mohammad Baha Abu Bakar berkata, program itu akan memberi kesedaran kepada penduduk mengenai  kelebihan dan keperluan menderma darah.

Sementara itu  orang ramai yang ingin menderma darah boleh berbuat demikian pada tarikh dan lokasi-lokasi yang disiarkan dalam  Facebook Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img