JABATAN Perubatan Transfusi (Tabung Darah) Hospital Melaka berjaya mengumpul 42 beg darah dalam Program Derma Darah di Taman Anjung Gapam, Bemban pada Sabtu lalu.
Taman perumahan itu merupakan salah satu daripada empat lokasi yang disenaraikan dalam program tersebut. Sebelumnya ia dijalankan secara tertutup di Maruwa (M) Sdn Bhd pada 13 Januari dan Politeknik Kota Melaka pada 15 Januari manakala semalam di Wisma Teladan.

Seramai 11 kakitangan Kementerian Kesihatan terlibat dalam program di Taman Anjung Gapam yang merupakan aktiviti kolaborasi Persatuan Penduduk Jalan Tulip Taman Anjung Gapam (PPJTTAG) , Surau Taman Anjung Gapam dan Persatuan Penduduk Taman Anjung Gapam (PPTAG) kali ke-2 tahun ini.
Menurut Pengerusi PPTAG Kapten M Farhan M Yusof, program itu memberi peluang kepada penduduk menderma darah berdekatan kawasan tempat tinggal mereka.
‘’Ia merupakan sebahagian usaha kita dalam membantu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan bekalan darah dan kita percaya apa yang kita lakukan sedikit banyak boleh menampung kekurangan bekalan darah di hospital,’’ katanya.
Pengerusi PPJTTAG, Mohammad Baha Abu Bakar berkata, program itu akan memberi kesedaran kepada penduduk mengenai kelebihan dan keperluan menderma darah.
Sementara itu orang ramai yang ingin menderma darah boleh berbuat demikian pada tarikh dan lokasi-lokasi yang disiarkan dalam Facebook Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka.


