AHLI Parlimen Pasir Mas dari Pas berkata, UMNO mampu menambah 10 lagi kerusi Parlimen jika Kolaborasi Agung dan Rumah Bangsa ialah bersama Perikatan Nasional (PN)
Katanya, walaupun kira-kira pilihan raya tidak seperti kira-kira asas matematik, tetapi sudah difahami dengan jelas bahawa pengundi (PN) boleh mengundi Barisan Nasional seperti yang berlaku di pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU2018.
‘’Ia dengan ketara berlaku di PRK Cameron Highland dan PRK Tanjung Piai. Jika disorot kerusi-kerusi yang dimenang oleh Pakatan Harapan di mana kedudukan UMNO di tempat kedua dan akan menjadi pemenang jika djumlahkan dengan undi Perikatan Nasional, UMNO dengan mudah sekali akan memenangi 10 kerusi tambahan iaitu ; Lembah Pantai,Kuala Selangor, Sungai Buloh, Hulu Langat, Sekijang, Ledang, Sri Gading, Alor Gajah, Hang Tuah Jaya dan Johor Bahru,’’ katanya dalam kenyataan.
Fahmi berkata, mengambil contoh Parlimen Johor Bahru yang dimenangi oleh calon PH (Akmal Nasir) pada PRU15 dengan 43,252 undi, manakala calon UMNO (Johan Ropi) memperoleh 27,211 undi dan calon PN (Mohtaj) memperoleh 22,075 undi;
‘’ Namun dalam senario akan datang, sekiranya undi UMNO dicampur dengan PN, jumlahnya menjadi 49,286 undi, sekali gus mengatasi undi PH dan membolehkan kerusi ini dimenangi oleh gabungan tersebut.
‘’Di dalam perundingan kerusi sudah tentu kerusi ini akan ditandingi oleh UMNO yang mendapat tempat kedua, itu tiada syak agi.
Beliau berkata, dalam konteks BN, kerusi Bentong dan Labis yang ditandingi oleh MCA dan kerusi Sungai Siput yang ditandingi oleh MIC sangat berpeluang untuk dimenangi kerana parti-parti komponen BN itu berada di tempat kedua selepas Pakatan Harapan.
‘’Ini belum mengambil kira kerusi-kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional di tempat kedua namun hanya meninggalkan Barisan Nasional dengan perbezaan yang sedikit yang tentu sekali terbuka kepada perbincangan untuk ditandingi.
‘’ Ini hanyalah kira-kira mudah sahaja yang tentu sekali masih terdedah dengan pelbagai kemungkinan dan senario isu dan perkembangan lain yang boleh mempengaruhi pengundi, tetapi ia sudah cukup kuat untuk menjadi asas perbincangan dalam gabungan politik,’’ katanya.
Ahmad Fadhli berkata, UMNO dengan mudah mengekalkan 26 kerusi yang sedia ada dan menambah lagi 10 kerusi, ruang untuk memenangi lebih 40 kerusi masih terbuka luas dengan beberapa kerusi lain yang dimenangi oleh PH di mana UMNO berada di tempat kedua tetapi tidak cukup untuk menang jika dicampur dengan undi PN.
Mengenai andaian jika dicampurkan undi Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, tentu sekali gabungan PH-BN boleh menang lebih besar, Ahmad Fahdli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas membangkitkan persoalan ini;
‘’Adakah pengundi Barisan Nasional keseluruhannya boleh menerima gabungan dengan Pakatan Harapan di dalam PRU16 nanti? Bukankah penolakan itu telah terbukti di dalam PRN 6 buah negeri tahun 2023 di mana pengundi-pengundi BN di dalam PRU15 ternyata sebahagiannya menolak idea gabungan PHBN?
‘’Secara realitinya, pengundi BN sebenarnya lebih mudah untuk mengundi gabungan BN-PN berbanding gabungan PH-BN dengan sentimen dan semangat yang sama. Justeru, Kolaborasi Agung dan Rumah Bangsa perlu digagaskan ke arah kerjasama politik yang boleh membuka ruang luas untuk memenangi PRU16, bukannya menjadikan UMNO dan Barisan Nasional semata-mata alat kepada Pakatan Harapan.’’


