Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia selepas tercekik biji rambutan dalam kejadian di sebuah rumah di Felda Neram 1 di Kemaman, semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika mangsa sedang makan buah rambutan bersama kakaknya yang berusia enam tahun.
Katanya kakak mangsa telah mengupas buah rambutan sebelum memberikannya kepada kanak-kanak itu dan mereka makan bersama.
“Ketika sedang makan, tiba-tiba suara mangsa tersekat-sekat dipercayai akibat biji rambutan yang dimakan tersangkut di kerongkong,” katanya lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.50 petang hari sama.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disahkan akibat tercekik (choked) dan doktor turut mengesahkan terdapat biji rambutan di dalam kerongkong mangsa,” ujarnya.


