Naib Canselor kolej mengaku tidak bersalah tipu lantikan ketua perunding

SEORANG Naib Canselor sebuah kolej universiti swasta di daerah Melaka Tengah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan memperdayakan pihak universiti berhubung pelantikan ketua perunding akademik, lima tahun lalu.

Tertuduh, Prof Dr G Jayakumar, 64, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu merupakan pensyarah kanan didakwa telah memperdayakan Naib Canselor kolej universiti berkenaan untuk melantik seorang pensyarah sebagai Ketua Perunding Program Kurikulum dan Pembangunan Akademik.

Perbuatan itu didakwa berlaku pada 3 Mei 2021 di pejabat kolej dengan bayaran sebanyak RM20,000 bagi membangunkan modul Program Terapi Pekerjaan, sedangkan tertuduh mengetahui pelantikan tersebut melanggar kontrak kerja pensyarah berkenaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, lapor Sinar Harian.

Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka sebulan sekali.

Menurut beliau, jumlah jaminan tersebut adalah munasabah bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

Sementara itu, peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh tidak membantah syarat jaminan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dan menetapkan 9 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img