SEORANG pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini membuat laporan polis dan memulakan tindakan undang-undang terhadap aktivis, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard, berhubung beberapa dakwaan yang disebarkan dalam media sosial.
Mejar Jeneral Datuk Faridhulathroth Hashim berkata, Badrul Hisham menyiarkan beberapa hantaran di Facebook sejak 31 Disember yang mengandungi tuduhan ‘palsu, berniat jahat dan berunsur fitnah’ sehingga merosakkan reputasinya secara serius.
Katanya, tuduhan itu termasuk rasuah, salah guna kedudukan, sumber awam dan terlibat dalam ‘operasi sulit’ yang menyalahi undang-undang, serta kewujudan apa yang digelar sebagai ‘rumah selamat’ bagi menyimpan sejumlah besar wang tunai.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan ini. Saya telah melaksanakan tugas saya sebagai penolong ketua staf (risikan) dengan penuh ketekunan, menurut undang-undang dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Faridhulathroth berkata, peguamnya akan menghantar surat tuntutan kepada Badrul Hisham dan beliau juga mahu membawa perkara itu ke mahkamah.
“Oleh itu, saya menggesa orang ramai agar tidak berkongsi semula kandungan daripada Badrul Hisham kerana ia bukan sahaja palsu, malah kini menjadi subjek siasatan polis,” katanya.
Dalam satu hantaran media sosial pada 31 Disember, Badrul Hisham menuduh beberapa pegawai kanan tentera melakukan salah laku yang dikaitkan dengan tender perolehan dan risikan tentera.
Antara yang dinamakan ialah Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali yang secara terbuka menafikan dakwaan tersebut dan memfailkan saman terhadap Badrul Hisham.


