Undang-undang e-dagang digubal, lindungi pengguna dan perkukuh ekosistem digital

KERAJAAN sedang mempergiat usaha menggubal undang-undang baharu berkaitan e-dagang bagi memperkukuh perlindungan pengguna serta memastikan ekosistem perdagangan digital negara berkembang secara mampan dan berdaya saing.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keperluan menggubal undang-undang itu didorong peningkatan aduan pengguna, khususnya melibatkan platform e-dagang yang bukan sahaja beroperasi dalam negara, malah berpangkalan di luar negara.

“Pertama, dari aspek perlindungan pengguna, aduan semakin meningkat dan ini menuntut satu bentuk kawal selia yang lebih berkesan supaya kepentingan pengguna dapat dilindungi. Kita mahu memastikan barangan yang dipesan melalui platform e-dagang benar-benar sampai kepada pengguna mengikut kualiti dan kuantiti yang telah ditetapkan.

“Kedua, ia juga berkait dengan pembinaan kepercayaan terhadap ekosistem e-dagang itu sendiri. Sekiranya aduan terus meningkat, termasuk isu barangan tidak sampai atau tidak seperti dipesan, keyakinan pengguna akan terhakis. Jadi ia melibatkan kepentingan pengguna dan pada masa sama industri perlu memahami kepentingan pembangunan ekosistem e-dagang secara menyeluruh,” katanya dalam sidang media di Dewan Serbaguna KPDN, Putajaya hari ini.

Menurut Armizan, kementerian kini berada pada peringkat menyediakan kertas dasar yang sedang diedarkan untuk mendapatkan maklum balas kementerian berkaitan sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.

“Kita menyasarkan untuk dibawa pada sidang seterusnya kerana terdapat beberapa dasar penting yang perlu diputuskan, termasuk sama ada platform e-dagang perlu didaftarkan atau dilesenkan, atau memadai dengan kaedah pematuhan secara sukarela,” katanya.

Beliau berkata, penggubalan undang-undang itu juga penting bagi menangani kebimbangan industri tempatan terhadap kemungkinan lambakan barangan dari luar negara yang boleh menjejaskan peniaga, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Isu ini bukan hanya melibatkan KPDN, tetapi turut membabitkan kementerian lain seperti KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan MITI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi), justeru pendekatan bersepadu diperlukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, walaupun negara sudah mempunyai perundangan sedia ada, masih terdapat kelompongan yang perlu diperkukuh melalui pindaan atau undang-undang baharu.

“Kita bukan tidak ada undang-undang langsung, tetapi ada loopholes (kelompangan) yang perlu diperbaiki. Dalam memastikan pendekatan terbaik, kita melaksanakan libat urus secara menyeluruh serta benchmarking terhadap amalan terbaik di beberapa negara, bukan sahaja dari segi peruntukan undang-undang, tetapi juga pelaksanaannya.

“Proses ini mengambil masa, namun better late than never. Kita telah memulakan usaha ini sejak dua tahun lalu dan menyasarkan lima kluster reformasi undang-undang ini dapat digerakkan tahun ini,” katanya.

 

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img