SEORANG petinju Muay Thai maut selepas tercampak 40 meter akibat dirempuh sebuah trak pikap ketika berjoging di Kilometer 4, Jalan Gua Musang–Sungai Terah di Gua Musang, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.05 petang itu, mangsa, Mohamad Nabil Mohamad, 20, dikatakan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian tersebut daripada orang awam pada jam 6.30 petang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu trak pikap berusia 33 tahun itu dalam perjalanan dari Sungai Terah menghala ke Gua Musang sebelum dipercayai hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian.
“Akibat kejadian itu, kenderaan terbabit terbabas ke bahu jalan dan melanggar mangsa yang ketika itu sedang berjoging bersama rakannya.
“Rempuhan itu mengakibatkan mangsa tercampak kira-kira 40 meter manakala trak pikap terbabit terbabas dan terbalik di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Choon Foo, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala rakannya hanya mengalami kecederaan ringan.
Tambahnya, pemandu serta penumpang trak pikap berkenaan dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat,” katanya.
Menurut Choon Foo, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-912 1222 atau 019-914 4855.


