Isteri bekas Panglima Tentera Darat mengaku tidak bersalah terima wang haram RM77,000

ISTERI ketiga bekas Panglima Tentera Darat (PTD) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000 pada tahun 2024 dan tahun lalu.

Tertuduh, Salwani Anuar @ Kamaruddin, 27, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

“Faham, saya mengaku tidak bersalah,” katanya yang hadir ke mahkamah dengan menggunakan kerusi roda kerana mengalami kesakitan di paha akibat penyakit bisul yang kronik.

Mengikut empat pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai pengawal syarikat Wany Venture telah menerima hasil aktiviti haram iaitu wang RM50,000, RM7,000 dan dua lagi jumlah masing-masing RM10,000 yang dimasukkan ke akaun milik syarikat itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank Damansara Heights, Kuala Lumpur antara 24 November 2024 dan 25 November 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 dan dibaca bersama Subseksyen 87(1)(a) akta sama, boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta serupa.

Subsekyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Salwani diwakili peguam Fahmi Moin.

Hakim Rosli membenarkan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin selepas peguam wanita itu membantah cadangan jaminan RM30,000 hingga RM50,000, dengan alasan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri walaupun pertuduhan yang dihadapi adalah serius.

Fahmi memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memperoleh pendapatan tidak tetap melalui perniagaan dalam talian selain perlu menanggung ibu bapanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Salwani baru berkahwin dengan Hafizuddeain pada Ogos tahun lalu dan beri kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang siasatan.

Salwani juga diperintahkan untuk melaporkan diri ke pejabat SPRM sekali sebulan serta menyerahkan pasport hingga kesnya selesai.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img