SPRM tahan individu bergelar Tan Sri disyaki tipu pelabur lebih RM300 juta

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberkas seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri disyaki menipu wang pelabur dipercayai mencecah jumlah lebih RM300 juta sejak dua tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika mengesahkan perkara itu berkata suspek lelaki berusia 60-an yang juga pemilik sebuah syarikat swasta dan ahli kewangan Islam berkenaan ditahan selepas tiba di ibu pejabat agensi terbabit di Putrajaya, semalam.

Katanya, SPRM memperoleh kebenaran perintah reman selama empat hari terhadap suspek itu di mahkamah Putrajaya, pagi tadi, bagi membantu siasatan lanjut.

Selain itu, beliau berkata, SPRM turut menahan seorang wanita yang juga ahli Lembaga Pengarah syarikat berkenaan, kelmarin, untuk membantu siasatan kes sama.

“Kita mendapat maklumat bahawa Tan Sri berusia 60-an itu dan seorang wanita berumur 50-an yang memegang jawatan ahli Lembaga Pengarah sebuah syarikat pelaburan, disyaki terbabit penipuan pelabur berskala besar.

“Ramai pelabur dilaporkan kehilangan ratusan juta ringgit. Malah, kita menganggarkan kerugian dialami pelabur itu mencecah lebih RM300 juta sejak dua tahun lalu.

“Pelaburan dipercayai didalangi dua suspek berkenaan adalah pelbagai dengan dijanjikan pulangan yang lumayan,” katanya kepada pemberita pada Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media, di Kota Bharu hari ini.

Sementara itu, perintah reman selama empat hari sehingga 25 Januari 2026 terhadap suspek lelaki tersebut telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Sehubungan itu, Azam menasihati orang ramai supaya tidak mudah terjebak dengan kegiatan pelaburan yang akhirnya terpaksa menanggung kerugian.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img