Penghantar barang serang wartawan sukan Haresh Deol didenda RM2,000

SEORANG lelaki didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan menyerang wartawan sukan, Haresh Deol di Bangsar pada November lalu.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap R Krishnan, 37, yang bekerja sebagai penghantar barang selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan ke atasnya ketika dihadapkan ke mahkamah pada 28 November lalu.

HARESH Deol ditemui pemberita selepas keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 ke atas penyerangnya pada November lalu. GAMBAR: Mohamad Redzwuan Mansor

Mengikut kertas pertuduhan, Krishnan bersama seorang lagi suspek yang masih bebas didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Haresh di hadapan bangunan Tanjung Balai Group, Jalan Telawi 3, kira-kira jam 3.32 petang, 5 November lalu.

Bapa kepada lima anak itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Salihen Mastor.

Mengikut fakta kes, Haresh yang bertugas sebagai editor di syarikat Twentytwo13 diserang ketika berjalan pulang dari sebuah restoran di Bangsar.

Siasatan mendapati tertuduh bersama seorang lagi suspek yang masih bebas menaiki sebuah motosikal dan berpura-pura berbual telefon sebelum menghampiri pengadu, yang kemudian cuba melarikan diri kerana berasa tidak selamat.

Bagaimanapun, pengadu terjatuh selepas terlanggar seorang pejalan kaki sebelum dipukul di bahagian muka dan badan, dengan salah seorang suspek didakwa memberitahu supaya tidak mengganggu isterinya.

Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan disaksikan orang awam. Pengadu kemudian mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dengan doktor mengesahkan kecederaan tisu lembut dan lebam di beberapa bahagian badan.

Siasatan turut mengesahkan penglibatan tertuduh yang kemudian ditahan polis bersama rampasan sebuah motosikal, manakala seorang lagi suspek masih belum diberkas.

Sementara itu, Haresh berkata, kes berkenaan belum berakhir memandangkan terdapat seorang lagi suspek masih bebas dan siasatan masih berjalan.

“Setakat pengetahuan saya, masih ada suspek di luar sana. Jadi, bagi saya kes ini belum selesai.

“Jika polis memanggil saya semula selepas suspek lain ditahan, sudah tentu saya akan bekerjasama,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img