KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memandang serius kebimbangan masyarakat berhubung kepesatan pengembangan jenama makanan dan minuman (F&B) asing seperti Mixue, Chagee dan Auntea Jenny.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr.Fuziah Salleh berkata, Kementerian itu juga memandang serius isu penetapan harga agresif termasuk dakwaan harga pemangsa (predatory pricing) di platform e-dagang yang boleh menjejaskan persaingan pasaran dan mengancam kelangsungan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan.
Tegas beliau walaupun Kerajaan mendukung prinsip ekonomi terbuka, Kerajaan tidak akan sesekali berkompromi sekiranya wujud elemen manipulasi pasaran yang menggugat kelangsungan “periuk nasi” PMKS tempatan.
‘’Prinsip keadilan pasaran dan persaingan yang adil adalah tunjang yang tidak boleh ditawar-menawar,’’ kata ketika menjawab soalan Rodziah Ismail di Dewan Rakyat hari ini.
Fuziah berkata, penglibatan syarikat asing dalam sektor perdagangan pengedaran adalah tertakluk kepada Garis Panduan Penyertaan Entiti Syarikat Asing dalam Industri Pengedaran Perdagangan yang dibangunkan pada tahun 2020, termasuk kategori kedai pengkhususan (specialty store).
‘’Antara syarat utama yang ditetapkan ialah syarikat perlu diperbadankan di Malaysia, mempunyai modal minimum sekurang-kurangnya RM1 juta, serta mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Perdagangan Pengedaran KPDN sebelum memulakan operasi.
‘’Bagi premis dengan keluasan lantai jualan melebihi 5,000 meter persegi, kajian kebolehlaksanaan dan impak turut diperlukan,’’ katanya.
Beliau memberitahu, seiring perubahan landskap perniagaan semasa dan perkembangan pesat kemasukan jenama F&B asing yang ketara bermula sekitar tahun 2024, KPDN sedang meneliti semula dan menambah baik garis panduan tersebut agar lebih relevan, termasuk memperhalusi kategori perniagaan berdasarkan model operasi semasa.
Mengenai isu platform e-dagang yang Fuziah memaklumkan kerajaan kini sedang memuktamadkan cadangan pindaan Akta Perdagangan Elektronik 2006 atau penggubalan undang-undang baharu berkaitan e- dagang untuk dibawa ke sidang Parlimen akan datang.
‘’ Antara fokus utama perundangan ini adalah untuk menutup jurang. pematuhan antara peniaga tempatan dan penjual luar negara, memastikan standard pematuhan yang sama dapat dikuatkuasakan, serta meletakkan tanggungjawab dan liabiliti yang lebih jelas kepada penyedia platform e- dagang dalam dan luar negara,’’ katanya.
Beliau berkata, KPDN komited memastikan struktur pasaran kekal seimbang, persaingan berlaku secara adil dan kepentingan pengguna terus dilindungi, di samping memperkukuh daya saing PMKS melalui kerjasama rentas Kementerian dan agensi berkaitan.
‘’ Kerajaan mengalu-alukan pelaburan asing yang membawa nilai tambah, namun semua pihak mesti menghormati undang-undang negara dan bersaing secara adil tanpa menindas pemain industri tempatan,’’ katanya.


