4 rakyat Malaysia menyamar penjawat awam ditahan di Singapura berkait kes tipu RM4.1 juta

EMPAT rakyat Malaysia termasuk seorang wanita ditahan Polis Singapura di negara itu selepas terlibat tiga kes penipuan penyamaran pegawai kerajaan yang mengakibatkan kerugian berjumlah SGD1.17 juta (kira-kira RM3.68 juta).

Kesemua individu berusia antara 24 hingga 30 tahun terbabit didakwa di mahkamah republik itu semalam.

Menurut kenyataan Pasukan Polis Singapura (SPF), kes pertama dilaporkan berlaku pada 22 Oktober lalu apabila seorang mangsa diperdaya memindahkan lebih SGD1.1 juta (RM3.46 juta) akibat ditipu suspek menyamar pegawai kerajaan.

Pasukan itu berkata, siasatan mendapati wang terbabit disalurkan melalui rangkaian pembayaran yang rumit sebelum dikeluarkan secara tunai melalui mesin ATM di negara berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut pegawai Perintah Anti-Penipuan Singapura dengan kerjasama polis Malaysia membawa kepada penahanan dua lelaki rakyat Malaysia berusia 24 dan 30 tahun kelmarin.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai membantu sindiket penipuan dengan mengeluarkan wang tunai di Malaysia menggunakan kad pembayaran yang dikaitkan dengan akaun keldai, sebelum menyerahkan wang itu kepada individu tidak dikenali sebagai sebahagian daripada operasi pengubahan wang haram,” katanya, lapor Berita Harian.

Manakala, kes kedua pula melibatkan seorang mangsa diperdaya menerusi panggilan telefon oleh individu menyamar pegawai bank dan pegawai Penguasa Kewangan Singapura pada Isnin lalu menyebabkan mangsa percaya dia disiasat atas kesalahan pengubahan wang haram.

“Mangsa mengeluarkan SGD50,000 (RM157,507) dan menyerahkannya kepada seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 28 tahun, yang kemudian ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands ketika cuba meninggalkan Singapura pada hari sama.

“Kes ketiga turut dilaporkan pada Isnin lalu apabila seorang warga emas menyerahkan SGD15,000 (RM47,243) kepada seorang wanita rakyat Malaysia berusia 26 tahun didakwa menyamar pihak penguat kuasa selepas mangsa diugut akan ditahan.

“Polis bertindak sebelum mangsa sempat menyerahkan tambahan SGD9,000 (RM28,349), sekali gus menahan wanita terbabit,” katanya.

SPF berkata, suspek dalam kes kedua dan ketiga dipercayai sebahagian daripada sindiket penipuan rentas negara yang ditugaskan mengutip wang tunai daripada mangsa sebelum menyerahkannya kepada ejen lain.

Dua lelaki yang dikaitkan dengan kes pertama didakwa atas kesalahan bersubahat melakukan akses tanpa kebenaran ke atas sistem komputer bank di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer Singapura, manakala dua suspek lain didakwa mengikut Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain (Pelucuthakan Faedah), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda sehingga SGD500,000 (RM1.5 juta) atau kedua-duanya sekali.

“Kita terus mengesan peningkatan trend rakyat Malaysia yang datang ke Singapura untuk membantu sindiket penipuan, khususnya dalam pengumpulan wang tunai, emas dan barangan berharga.

“Polis berpendirian tegas terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam penipuan dan pelaku akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang. Untuk makluman, hukuman sebat mandatori diperkenalkan di Singapura bagi kesalahan penipuan tertentu mulai 30 Disember lalu,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img