PERMOHONAN kemasukan pelajar ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi Akademik 2026/2027 ke program sijil, asasi, diploma dan ijazah sarjana muda melalui UPUOnline akan dibuka mulai 29 Januari hingga 23 Mac depan.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan memaklumkan, permohonan itu melibatkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta fasa pertama lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang setaraf.
“Permohonan fasa kedua bagi lepasan STPM dan setaraf pula akan dibuka pada 13 April hingga 23 Mei depan,” kata kenyataan itu.
Kata kenyataan berkenaan, permohonan dibuka kepada lepasan SPM dan STPM atau setaraf bagi semua program pengajian pada fasa permohonan SPM dan fasa pertama STPM atau setaraf.
‘’Walau bagaimanapun, bagi fasa kedua lepasan STPM atau setaraf, ia hanya melibatkan program pengajian yang tidak memerlukan temu duga dan atau ujian.
“Permohonan ini membabitkan kemasukan ke program sijil, asasi, diploma dan ijazah sarjana muda di 20 universiti awam (UA), 36 politeknik serta 106 kolej komuniti, termasuk dua institusi di bawah MARA di seluruh negara,” kata kenyataan tersebut
Selain itu, kementerian berkenaan memaklumkan pembelian nombor pin UPUOnline boleh dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 28 Januari ini, sebelum mengemukakan permohonan, dengan harga RM10.60 termasuk caj perkhidmatan.
Kaedah bayaran nombor pin UPUOnline di BSN adalah melalui 387 kaunter cawangan BSN, 843 mesin juruwang automatik (ATM) BSN serta perbankan Internet myBSN.
“BSN akan mengeluarkan nombor pin UPUOnline berserta salinan resit pembayaran dan calon dinasihatkan supaya menyimpan resit berkenaan sebagai bukti sah pembelian,” kata kenyataan itu.
Kementerian tersebut menggalakkan calon yang layak untuk memohon kemasukan ke 363 program pengajian yang ditawarkan kepada lepasan SPM dan 1,146 program kepada lepasan STPM atau setaraf oleh UA, politeknik, kolej komuniti serta MARA di seluruh negara.


